Tuesday, 23 August 2016

Melancong ketika mengandung? Ianya tidak mustahil!


Ke mana destinasi pelancongan anda kali ini...Seoul, Hong Kong atau Bali?






Suka saya nak bagitau bahawa dengan sedikit persiapan, anda yang mengandung masih boleh melakukan perjalanan jauh dengan selamat. Akan tetapi risiko dan cabarannya masih ada ya. Anda boleh menghadapi risiko jangkitan kuman/virus atau mendapat komplikasi teruk daripada sesetengah jangkitan di mana kandungan juga boleh dijangkiti. Sebab itu pentingnya berbincang dengan doktor atau klinik kesihatan anda mengenai pelan perjalanan anda, sebaiknya 6 minggu sebelum anda pergi melancong.

Waktu perjalanan yang paling selamat adalah di antara minggu ke 18 dan 24 minggu kehamilan. Kecemasan obstetrik paling biasa berlaku dalam minggu pertama dan ke 3 kehamilan. Apabila anda membuat keputusan untuk melancong ke luar negara, pastikan keputusan itu dilakukan bersama doktor atau klinik kesihatan anda. Elok kita berbincang tentang tujuan perjalanan, destinasi anda, jangka masa perjalanan, aktiviti-aktiviti yang dirancang, rawatan perubatan dan komplikasi berkaitan kehamilan dan kemudahan kesihatan di negara yang ditujukan.



Saya syorkan anda dapatkan pelan insuran kesihatan pengembara dan telitilah polisi serta perlindungan yang ditawarkan. Sebab kebanyakan polisi insurans tidak melindungi keadaan kehamilan secara otomatik atau penjagaan hospital untuk bayi pra-matang.

Vaksin - secara umumnya anda dinasihatkan mengelak daripada suntikan vaksin hidup seperti measles, rubella dan mumps. Tetapi vaksin tidak aktif seperti hepatitis B adalah selamat. Semua keputusan untuk mendapatkan rawatan vaksinasi ketika mengandung adalah tertakluk kepada penilaian doktor atau klinik kesihatan anda. Ianya mengambil kira keadaan kesihatan diri anda, destinasi dan jangka masa perjalanan dan risiko daripada jangkitan penyakit. Malaria dan zika boleh menjadi masalah kesihatan untuk anda dan kandungan anda. Eloklah anda mengelak kawasan sebaran di mana ia berlaku.



Risiko Pengangkutan
Sentiasa gunakan tali pinggang keselamatan ketika menaiki kapal terbang, kereta atau pun tren. Pastikan kedudukan tali pinggang anda diletakkan di atas dan bawah perut secara selamat. Untuk perjalanan udara, anda boleh mengembara dengan selamat sehingga 36 minggu matang. Kebanyakan syarikat penerbangan menyekat perjalanan pada lewat kehamilan atau anda perlu dapatkan pengesahan bertulis daripada doktor. Semaklah dengan syarikat penerbangan itu mengenai keperluan mereka sebelum anda menempah tiket. Anda berisiko tinggi mendapat darah beku atau trombosis vena dalam (DVT). Risiko DVT boleh dikurangkan dengan bangun dan sesekali berjalan, bersenam dan meregangkan kaki anda semasa duduk dan pilihlah tempat duduk lorong. Pakailah kasut yang selesa dan pakaian yang longgar. Selebihnya doktor anda boleh cadangkan cara-cara tambahan untuk  kurangkan risiko.



Mabuk - Ubat tertentu yang digunakan untuk merawat loya dan muntah semasa mengandung juga berkesan dalam melegakan mabuk. Jika anda berkemungkinan mabuk ketika melancong, jumpa doktor anda untuk perbincangan lanjut tentang penggunaan ubat-ubat ini.

Risiko Alam Sekitar dan Rekreasi
Anda haruslah berbincang rancangan perjalanan anda, termasuk aktiviti-aktiviti rekreasi yang dirancang dengan doktor anda di mana ada yang tidak disyorkan atau ada yang perlukan langkah berjaga-jaga tambahan.






Aras Tinggi - Seeloknya elakkan berada pada ketinggian diatas 3658 meter (12,000 kaki). Bagi yang berisiko tinggi dan di peringkat akhir kehamilan, pendedahan ketinggian harus dihadkan tidak lebih daripada 2500 meter (8200 kaki) untuk mengelakkan komplikasi yang mungkin berlaku. Saya ingatkan anda bahawa kebanyakan destinasi aras tinggi adalah jauh daripada kemudahan perubatan yang lengkap.




Langkah-langkah Perlindungan Diri
Penyakit-penyakit bawaan makanan dan bawaan air. Anda perlu hati-hati dan amalkan langkah waspada terutamanya makanan dan air. Banyak penyakit-penyakit tersebut boleh menjadi lebih serius semasa hamil dan boleh menimbulkan risiko kepada bayi kandungan. Amalkan basuh tangan sebelum makan atau memasak dan cuci tangan gunakan sabun selepas keluar tandas, menukar lampin bayi atau bersentuhan dengan haiwan atau pesakit. Pastikan anda minum air yang dimasak atau air botol komersial seperti air mineral atau air bertapis.

Elakkan menggunakan iodin untuk tujuan pembersihan air untuk jangka masa lama kerana ianya boleh menyebabkan janin atau bayi mengalami masalah tiroid. Juga jauhkan daripada produk tenusu yang tidak dipastuer dan daging/ikan mentah yang tidak dimasak sepenuhnya. Jika anda alami cirit birit secara berterusan maka hendaklah berjumpa doktor dengan segara. Jangan gunakan subsalicylate bismut untuk merawat cirit birit.



Serangga dan Penyakit Haiwan
Melindungi diri anda daripada gigitan serangga menggunakan kelambu, penghalau serangga (repellent) dan pakaian perlindungan. Jauhkan dari menyentuh haiwan termasuk kucing, anjing, ular, monyet, tikus, burung dan kelawar walaupun ianya mungkin haiwan peliharaan.

Pek Kit Kesihatan
Anda juga boleh membungkus barangan seperti krim, vitamin pra-natal, ubat-ubatan jangkitan yis dan hos sokongan sebagai tambahan. Doktor anda boleh berikan cadangan tambahan.

Pantau Kesihatan Anda
Diingatkan supaya anda dapatkan rawatan perubatan segera jika anda alami mana-mana gejala berikut semasa melancong: muntah berterusan/cirit-birit, dehiderasi (kurang air dalam badan) pendarahan faraj, sakit perut/kekejangan, pengecutan, bengkak kaki, migrain atau gelap mata. Bagitau doktor secara terperinci tempoh dan kekerapan gejala yang dialami dan juga di mana ia bermula supaya doktor dapat gambaran yang jelas situasi kesihatan anda sebelum melakukan pemeriksaan lanjut.



Kesimpulannya anda perlu perancangan dan persediaan rapi sebelum melakukan perjalanan anda. Dapatkan nasihat/cadangan doktor anda jika kurang pasti. Bila segalanya telah dibuat maka anda akan pasti dapat menikmati perjalanan anda dengan selamat dan penuh ceria tanpa risau atau masalah. Selebihnya berdoa dan tawakkallah dengan ketentuanNya.




Selamat bercuti dan go enjoy yourself! InshaAllah.



No comments:

Post a Comment